السلام عليكم

Wednesday 29 July 2009

Ilmu Laduni

Acap kali saya mendengar kawan-kawan berbicara sesama sendiri, tentang suatu ilmu yang disebut ilmu ladunni. Mereka mengatakan Guru mereka adalah memiliki ilmu ladunni. Apakah dia ilmu ladunni itu? Bolehkah manusia mendapat ilmu tersebut dengan mempelajarinya? Harap dapat diperjelaskan.

AHMAD HASHIM
Tasek Gelugor


Jawapan oleh Dato` DR Haron Din

Saya pernah diajukan pelbagai soalan tentang ilmu ladunni. Ada yang meminta pengesahan benarkah si fulan mempunyai ilmu tersebut atau ilmu ganjil yang digelarkan dengan ladunni.

Pada pengamatan saya, ilmu ladunni bermula dengan istilah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya):

"Maka kedua-duanya (Musa dan pembantunya) menemui seorang hamba daripada hamba-hamba Allah yang Allah telah berikan kepadanya rahmat-Nya (dari sisi-Nya) dan diajarkan kepadanya dari sisi-Nya (juga) ilmu pengetahuan.

(Surah al-Kahfi, ayat 65)

Istilah yang digunakan dalam ayat ini ialah "mil ladunna 'ilma". Perkataan ladunna, di situlah akhirnya menjadi ladunni. Ladunna bermaksud dari sisi Kami, ladunni bermaksud dari sisi saya.

Kaitan ilmu ladunni dalam ayat ini, bahawa Nabi Musa a.s mengetahui ada seorang hamba Allah yang bukan Rasul, dianugerahkan kepadanya ilmu khusus dari Allah kepadanya tanpa perantaraan.

Mengikut satu riwayat dia adalah hamba Allah yang bernama Balya bin Malkan. Ia adalah nama sebenar beliau, dikenali sebagai nama Nabi Khaidir, diambil daripada kampungnya yang bernama Khaidharah.

Nabi Khaidir, terkenal sebagai seorang yang mendapat ilmu ladunni, diberi Allah, mengetahui perkara yang ghaib.

Nabi Musa hendak berjumpa dengan Nabi Khaidir, dengan tujuan mematuhi segala kehendaknya demi mendapat peluang diajarkan ilmu tersebut.

Sebaik sahaja Musa untuk belajar dengan Khaidir, lalu Khaidir menjawab, "Kamu tidak boleh kerana kamu tidak sabar."

Musa menghujahkan balik kepada Khaidir bahawa dia datang mencarinya kerana dia akan belajar dan sabar.

Tetapi ternyata hingga akhirnya dalam kisah yang disebutkan dalam Surah al-Kahfi, Musa tidak sabar, lalu mereka berpisah dan ilmu itu tidak diperturunkan kepada Musa.

Nabi Musa a.s yang cuba mendapat ilmu ladunni itu dengan pergi mempelajarinya dengan mengikut apa sahaja kehendak Balya bin Malkan, akhirnya pun gagal sedangkan Musa adalah seorang yang sabar, seorang Rasul yang boleh bercakap dengan Allah pun tidak boleh.

Maka bagaimana insan biasa boleh mendapat ilmu ladunni?

Saya merasakan bahawa ilmu ini memang wujud atas anugerah Allah. Orang mendapat ilmu itu adalah orang yang paling takut kepada Allah, paling tawaduk dan paling sayang dengan ilmunya, takut ditarik balik oleh Allah dengan sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Jauh sekali dari mendakwa atau mengaku mereka mengakui mendapat ilmu ladunni atau dengan mudah-mudah untuk mengajar ilmu itu kepada orang lain.

Ilmu yang biasa diterima oleh manusia adalah ilmu zahir atau disebut ilmu syariat, ilmu inilah yang dipelajari.

Kita boleh menghampiri Allah dengan mengamalkan semua saranan dalam ilmu syariat berdasarkan hukum-hukum yang termaktub dalam syariat Islam.

Adapun yang mendakwa mereka mendapat ilmu ladunni dan cuba menurunkan kepada orang lain. Kadang-kadang insan tertipu dengan perkara-perkara yang ghaib berlaku.

Sedarlah bahawa bukan semua perkara yang ghaib datang daripada Allah. Barangkali ada sumber lain (ilmu ghaib) yang tidak diketahui. Maka dicelah-celah itulah ada orang tertipu dengannya, akhirnya terjebak dengan pengajaran yang terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Monday 13 July 2009

6 Perkara Dorong Ibadat

Tazkirah Remaja: 6 perkara dorong beribadat

PADA waktu Rasulullah s.a.w mengembala kambing, ada sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil
berborak dan ketawa. Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w: Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?"
Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."
Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga melalaikan, itu yang merosakkan.
Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah.

Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu dengan azan yang berkumandang. Padang bola pula bersebelahan masjid.
Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi jalan. Inilah yang dilarang Nabi.
Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada, tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.
Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak sempat qada saja. Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat?

Dalam ruangan kali ini, saya mengajak remaja memahami tujuan kita mesti beribadat.
Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.
Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56)
Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma.
Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar. Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong.
Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tidak beribadat ini matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." (Al-Quran, surah al-A'raaf:172)

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita.
Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi
membuat pengakuan.
Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)

Thursday 2 July 2009

Doa Mohon Sembuh Penyakit



Double klik untuk besarkan imej