SATU lagi pendekatan dunia penyiaran dalam membantu membentuk akhlak generasi muda diperkenalkan menerusi rancangan terbaru terbitan Astro, Imam Muda.
Pertama kalinya di dunia, misi mencungkil bakat sebagai seorang imam di kalangan generasi muda diketengahkan secara komersial ke kaca televisyen buat tatapan penonton.
Tanpa perlu ada pertikaian, perdebatan ataupun sebarang hujah negatif, rasional saluran Oasis (saluran 106, Astro) menerbitkan Imam Muda berteraskan satu matlamat - mencari ikon baru untuk memperkasakan landasan agama.
Pada masa yang sama, Imam Muda berhasrat membentuk figura seorang imam sejati.
Pada masa yang sama pastinya ribuan dan barangkali jutaan penonton dapat sama-sama menghalusi apakah makna, peranan serta tugas yang sebenar-benarnya dipikul oleh mereka yang bergelar imam.
Kebanyakan daripada kita lebih cenderung melihat tugas imam lebih banyak tertumpu kepada mengimamkan solat di masjid-masjid tanpa kita sedari hakikatnya peranan dan tanggungjawab imam itu sendiri sebenarnya cukup meluas.
Sudah sampai masanya kerjaya sebagai seorang imam diuar-uarkan kepada masyarakat.
Justeru, dalam tempoh hanya tiga bulan sahaja penerbitan Imam Muda merupakan antara usaha yang diyakini mampu meninggalkan impak dan fenomena tersendiri di kalangan penonton.
Rantaian 34 episod dengan slogan Satu Penemuan… Sebuah Perjalanan Sejati itu bakal bersiaran menerusi rangkaian Oasis (saluran 106, Astro) bermula hari ini dan esok pukul 6.30 petang.
Selain Oasis, buat pertama kalinya juga sesebuah program di Astro bersiaran di empat saluran serentak pada episod pengenalan, Imam Muda - Ujian iaitu di saluran Ria (saluran 104), Prima (saluran 105) dan @15 (saluran 109).
Menerusi episod pengenalan itu, pelbagai senario yang berlaku sepanjang proses uji bakat dipertontonkan.
Bahkan, penonton juga berpeluang menyaksikan bagaimana proses pemilihan 10 calon Imam Muda dilakukan.
Pencarian di empat zon berbeza iaitu di ibu kota, Terengganu, Kedah dan Johor Bahru sejak dua bulan lalu membuktikan usaha Oasis sebelum ini tidak sia-sia apabila jumlah penyertaan di peringkat uji bakat melebihi 1,000 orang.
Apatah lagi, kini mereka berjaya menyenaraikan nama-nama seperti Amiril Md. Banin, 25; Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26; Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 26; Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27 dan Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21 sebagai peserta.
Tidak ketinggalan ialah Nik Muhammad Adib Md. Amin, 22; Nuri Ali Arbain, 25; Sharafuddin Suaut, 26; Ahmad Syakir Zamri, 19, dan Mohd. Taufek Mohd. Noh, 27.
Berilmu, mempunyai asas agama, kelunakan suara melantunkan bacaan kalam suci serta gemarkan cabaran antara kriteria pemilihan yang cukup ditekankan dalam pemilihan mereka sebagai calon Imam Muda.
Menurut pengurus saluran Oasis, Izelan Basar, penerimaan positif banyak pihak terhadap program tersebut biarpun masih belum ditayangkan merangsang stesen berkenaan menjadikan Imam Muda sebagai sebuah program terbaik di negara ini.
"Dengan penyertaan yang cukup besar ia secara tidak langsung menimbulkan rasa kagum kami terhadap anak-anak muda yang berkebolehan ketika tampil pada sesi uji bakat.
"Pada masa yang sama, ini melambangkan minat mendalam serta perhatian masyarakat terhadap program sebegini," katanya pada sesi memperkenalkan kesemua 10 peserta Imam Muda musim pertama.
Pada majlis yang sama, Ustaz Dzulkarnain Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zul di kalangan penonton Oasis menerusi program Kalam Suci diumumkan sebagai hos rancangan tersebut.
Beliau sebelum ini mempunyai pengalaman yang luas dalam hal ehwal keagamaan serta pernah mewakili negara di pertandingan tahfiz dan taranum peringkat kebangsaan tidak lama dahulu.
Bercerita mengenai calon yang terpilih, tambah Izelan kesemua peserta berkenaan mempunyai latar yang berbeza termasuk kerjaya, pendidikan dan keluarga.
Oleh kerana perbezaan tersebut, maka cabaran bagi setiap calon yang terpilih terbentuk dengan sendirinya.
"Bagi kami di pihak penyiaran pula disinilah cabarannya dalam membentuk keperibadian seorang imam pada setiap 10 orang peserta.
"Bayangkanlah, pendidikan serta sahsiah diri seorang imam cuba kami terapkan dalam diri mereka di mana ada di antaranya berusia semuda 18 tahun.
"Objektif kami hanyalah satu iaitu memartabatkan status imam itu sendiri di samping melahirkan imam muda yang versatil di kalangan generasi pelapis sendiri," kata Izelan lagi.
Sudah tentu ramai yang sudah tidak sabar menyaksikan bagaimana tokoh agama disegani yang juga mantan imam Masjid Negara, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz membentuk dan melahirkan pelapis imam menerusi Imam muda.
Di samping itu, dua mentor disediakan dalam membantu dan menyokong tanggungjawab sebagai tenaga pengajar program tersebut.
Mereka ialah Ketua Imam, Masjid Muaz Jabal, Taman Setiawangsa yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) iaitu Ustaz Shahrizan Daud serta Penceramah Bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
No comments:
Post a Comment